Ahad, 27 Julai 2008
Catatan 10 : Bagaimana untuk mengurangkan bil elektrik anda
Saranan 1) Kurangkan atau hentikan menggunakan penyaman udara. Sebagai ganti, hidupkan kipas angin anda. Anda boleh berjimat sebanyak $50 dalam sebulan sahaja. Ini kerana penyaman udara menggunakan tenaga elektrik yang banyak dan merupakan sumber terbesar dalam bil anda. Sebuah kipas angin hanya menggunakan 1/10 daripada tenaga yang digunakan oleh sebuah penyaman udara.

Saranan 2) Semakin rendah suhu ditetapkan, semakin banyak tenaga yang digunakan oleh penyaman udara. Tetapkan suhu pada 25 deg C atau lebih. Setiap kenaikan darjah menjimatkan wang anda kerana bil elektrik menurun.

Saranan 3 ) Matikan perkakas elektrik seperti televisyen dan komputer apabila tidak digunakan dan jangan biarkan pada keadaan `siap sedia' atau `stand-by mode'. Perkakas yang berada dalam keadaan `siap sedia' menambahkan sekitar 10% kepada bil elektrik anda.

Untuk maklumat dan butiran lanjut, anda bolehlah melungsuri
http://www.e2singapore.gov.sg
posted by Hanani @ 4:39 PG   0 comments
Catatan 9 : Barangan dapur boleh digunakan untuk bahan kecantikan - untuk menjimatkan kos
Ada barangan dapur yang boleh digunakan untuk bahan kecantikan dan kebersihan. Dengan ini, kita dapat menjimatkan wang daripada membeli barangan kecantikan yang mahal-mahal yang berada di pasaran.

1) Jus lemon boleh digunakan sebagai toner dan boleh disapu di muka beberapa minit. Kemudian cucilah muka sehingga bersih. Toner yang berada di pasaran berharga puluhan dolar dan ada juga yang mencecah ratusan dolar.

2) Jus lemon juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau badan dengan berkesan. Hiris buah lemon, ambil satu hirisan dan perah. Ambil jusnya dan lumurkan ke bahagian badan yang berbau `semerbak' misalnya ketiak. Biarkan untuk seketika. Insya Allah, bau ketiak yang `semerbak' akan hilang. 3 biji buah lemon berharga $1.80 manakala minyak wangi berharga puluhan dolar. Bolehlah kita berjimat.



3) Madu juga boleh kita gunakan untuk melicinkan wajah kita. Sapu sedikit madu ke muka dan biarkan selama 2 atau 3 jam. Kulit akan menjadi lembut. `Softener' yang dijual di pusat membeli-belah selalunya berharga puluhan dolar. Dapatlah kita jimat wang dan gunakan untuk keperluan lain.
posted by Hanani @ 4:02 PG   0 comments
Catatan 8 : Perlu ada anjakan paradigma


Klip video yang dipetik daripada filem `Ibu Mertuaku' diatas memang sangat terkenal di dalam masyarakat kita hari ini. Ramai yang sudah pun hafal dengan kata-kata Mak Dara dalam filem tersebut.

Namun, jika kita meneliti kata-katanya itu, ada sesuatu yang tersirat, yang begitu mendalam, yang menggambarkan dan mencerminkan harapan dan jangkaan Mak Dara.

Mak Dara : Siapa Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?

Kata-kata sinisnya itu menggambarkan paradigmanya yang hanya memikirkan bahawa orang-orang yang berkedudukan sahajalah yang boleh memberi kebahagiaan dan bertanggungjawab ke atas isteri dan keluarga. Orang-orang seperti Kassim Selamat di pandang rendah dan difikirkan tidak layak bernikah dengan anaknya Sabariah.

Ini menunjukkan betapa status atau kedudukan sangat di pandang tinggi. Berkaitan dengan topik blog ini, apabila seseorang sangat mengutamakan status dan kedudukan, kadangkala mereka sendiri terjerat. Sekiranya sememangnya kita mampu untuk memiliki kereta mewah, rumah mewah dan segala-galanya mewah, maka dengan izin Tuhan, memang kita layak untuk mendapatkan rezeki tersebut. Tetapi sekiranya kita tak mampu untuk memiliki benda-benda mewah, janganlah kita menyusahkah diri sendiri dengan berhutang sana-sini hanya untuk hidup bermewah sedangkan kita tak berkemampuan.

Kita perlu melayari hidup ini menurut kemampuan kita. Yang penting kita bahagia dan bersyukur dengan apa yang ada. Orang yang hidup bersederhana pun boleh berjaya, bahagia dan menjadi mulia. Yang hina bukanlah yang miskin harta tapi yang hina adalah yang miskin budi pekerti, miskin budi bahasa dan miskin ketaqwaan.
posted by Hanani @ 3:25 PG   0 comments
Sabtu, 26 Julai 2008
Catatan 7 : Jangan dibiar terbuai dek nafsu
Bisikan itu tidak ketara,
Bisikan itu tidak terasa,
Namun bisikan itu hebat dan kuat,
Bisikan itu mengheretku,
Terus melalui terowong masa.

Apakah benar aku terseksa?
Atau ianya imaginasi belaka,
Mengapa tidak melihat pada yang tiada,
Bukan sepatu dan cincin sahaja,
Malahan mereka tiada kaki, berjari dan segala.

Mengapa kurang bersyukur,
Mengapa difikir benda yang tiada,
Mengapa tak difikir benda yang ada.

Beginilah manusia,
Lemah sentiasa,
Perlu bimbingan,
Perlu peringatan,
Barulah sedar dari kealpaan.

Nanti ulang kembali,
Tak habis-habis asyik itu,
Tak pernahku jemu,
Merungut tentang perkara itu.

Apa yang kau ada,
Orang lain belum tentu ada.
Apa yang kau tak ada,
Biarlah orang lain ada...
Ini semuakan rezeki Tuhan.

Kalau nak sangat, berusahalah.
Kalau dapat, Alhamdulillah.
Kalau tidak, usahalah lagi.
Kalau tak dapat juga,
Mungkin belum rezeki kita,
Maka redhalah.

Nafsu memang nak ini dan itu,
Namun hendaklah kita kawal satu persatu,
Minta bantuan Dia yang satu.
posted by Hanani @ 6:42 PTG   0 comments
Catatan 6 : Pasaraya NTUC Fairprice menawarkan lebih banyak barangan lebih murah
Pasaraya NTUC Fairprice menawarkan lebih banyak barangan yang murah jika dibandingkan dengan pasaraya-pasaraya yang lain. Dapatan daripada satu kajian yang dibuat baru-baru ini yang diedarkan pada 2 May 2008, menunjukkan bahawa NTUC Fairprice menawarkan harga yang rendah bagi barangan seperti telur, mi segera, beras, garam gula, kain lampin kanak-kanak,sabun mandi, sabun pencuci pinggan dan sabun pencuci baju. Ini diikuti dengan pasaraya Sheng Siong yang menawarkan harga rendah bagi barangan seperti Sadin dalam tin, kacang panggang dalam tin, cendawan dalam tin, minyak masak, telur, gula dan serbuk susu. Kedudukan pasaraya yang menawarkan banyak produk berharga rendah adalah seperti berikut :

1) NTUC Fairprice
2) Sheng Siong
3) Giant
4) Shop N Save
5) Cold Storage
6) Prime
7) Carrefour

Untuk butiran lanjut tentang dapatan kajian tersebut, anda bolehlah melungsuri lelaman berikut : http://www.case.org.sg/case_survey.php

Dulu, keluarga saya sangat gemar berbelanja di Carrefour kerana pengguna mempunyai banyak pilihan sebelum membeli produk-produk yang diperlukan. Waktu itu, Giant belum lagi membuka cawangan di timur Singapura. Namun, apabila Giant membuka cawangan di Parkway Parade, saya pun bertukar tempat membeli barangan dapur dan ianya menjadi tempat kunjungan kami sekeluarga pada hujung minggu. Barangan yang ditawarkan ada juga yang lebih murah.

Baru-baru ini pula, NTUC Fairprice membuka cawangan di sebelah rumah saya di Tampines. Alahai!!! Pucuk di cita, ulam mendatang....:) Mudahlah saya berbelanja barangan dapur untuk keluarga. Cuma kadangkala, ada barangan yang tak dijual di cawangan yang sederhana besarnya ini. Oleh itu, saya juga suka pergi ke Giant Tampines yang dekat dengan teratak saya. Bila produk-produk berpatutan harganya, kita yang berbelanja ni pun, kepala tak sakit, hati pun tenang :)
posted by Hanani @ 8:50 PG   0 comments
Catatan 5 : Pemandu agresif membazir lebih banyak minyak bila memandu.
Harga minyak yang tinggi membuat kita merungut dan bimbang. Ini disebabkan perbelanjaan yang tinggi untuk minyak bermakna kuranglah wang yang boleh diperuntukkan untuk perbelanjaan keluarga yang lain. Tetapi, janganlah kita melepaskan geram dengan memandu dengan agresif.

Kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa pemandu yang marah dan agresif cenderung kepada tabiat yang membazirkan minyak. Sebagai contoh, mereka gemar memecut, terus memandu walaupun kelihatan lampu merah dan memijak brek dengan serta-merta.

Setiap kali pedal brek dipijak, minyak di dalam tank berubah menjadi hawa panas (heat energy). Menekan brek dengan deras dan laju menyebabkan enjin dibanjiri dengan minyak yang berlebihan lantas menyebabkan kereta perlu untuk membakar lebih banyak minyak. Begitu juga apabila kita menekan brek sentiasa tanpa sebab munasabah kerana ianya membazirkan tenaga yang digunakan untuk menaikkan kelajuan. Menekan minyak dengan mendadak dan deras dan juga menekan brek selalu tanpa sebab munasabah membazir minyak sebanyak 20%.

Memecut berlebihan menggunakan lebih banyak minyak dan tenaga jika dibandingkan dengan memandu dengan cermat dan dalam tahap kelajuan yang seimbang.

Ini bermakna, pemandu yang marah dan agresif yang sentiasa memecut dan brek dengan mendadak, kenalah mengisi minyak di stesen pam minyak dengan lebih kerap daripada pemandu yang tenang. Ini kerana pemandu yang memandu dengan kadar kelajuan yang seimbang dan tenang dan juga menghindarkan daripada brek tak menentu menggunakan minyak yang kurang.



Oleh itu, perlulah kita bermuhasabah diri supaya kita dapat mengawal kos perbelanjan dengan mengawal diri kita dan tahap mental kita apabila memandu.
posted by Hanani @ 3:43 PG   0 comments
Rabu, 23 Julai 2008
Catatan 4 : Bagaimana mengurangkan perbelanjaan barangan dapur hingga 22%
1) Belilah `housebrands'.
Kita dapat menikmati barangan `housebrands' dengan harga yang lebih rendah daripada jenama bertaraf antarabangsa atau jenama-jenama terkenal, sebanyak 10-15%. Sebagai contoh, barangan seperti keperluan bilik air dan tandas seperti kertas tisu, losyen pencuci tangan dan sebagainya mempunyai mutu yang sama hebatnya dengan jenama-jenama lainnya. Tak payahlah nak bayar mahal-mahal untuk barangan tandas asalkan ianya berfungsi dengan baik. Begitu juga dengan roti kerana ianya lebih murah daripada jenama yang lain namun mutunya tidak kurang hebatnya.


Ada beberapa cara untuk mengurangkan perbelanjaan, asalkan kita bersedia untuk menurunkan jangkaan kita(lower our expectations)dan merubah sedikit gaya hidup kita.

2)Cubalah barangan makanan beku.
Barangan makanan beku sama sahaja khasiat dengan barangan segar. Bukan itu sahaja, malahan, ianya juga lebih murah dan poket pun taklah koyak teruk :)

3)Ambil peluang promosi mingguan istimewa
Setiap minggu, NTUC Fairprice, Cold Storage, Shop and Save dan beberapa pasaraya yang lain mengadakan promosi istimewa. Barangan seperti ikan, buah-buahan dan keperluan dapur yang lainnya ditawarkan dengan harga yang lebih rendah. Sebagai pengguna, kita bolehlah sentiasa membelek akhbar untuk mengetahui tawaran-tawaran yang diadakan, selalunya di siarkan diakhbar tempatan pada hari Khamis. Kita kenalah bijak mencari yang mana barangan yang sesuai untuk bajet kita.

4)Diskaun 2% untuk warga emas pada hari Selasa.
Bukanlah kia nak ambil kesempatan, tapi sekiranya memang ibu-bapa kita memiliki kad warga emas, mereka boleh gunakan di pasaraya NTUC Fairprice untuk mendapatkan diskaun pada setiap hari Selasa sebanyak 2% dan kita bolehlah berbelanja bersama mereka untuk mendapatkan potongan harga.

Saya sendiri memang gemar membeli barangan `housebrands' seperti roti dan barangan bilik air kerana ianya bukan sahaja menjimatkan, malahan ianya berfungsi sama sahaja dengan barangan yang berjenama terkenal. Saya juga memang selalu membelek akhbar ST pada hari Khamis untuk menikmati potongan harga pada barangan seperti ikan salmon dan dory juga buah-buahan seperti kiwi dan strawberi. Ini disebabkan, kadangkala, tanpa potongan harga, ada barangan makanan yang agak mahal. Dengan cara ini, bolehlah kita berjimat dan wang yang dijimatkan bolehlah digunakan atau diagihkan kepada keperluan-keperluan yang lain.
posted by Hanani @ 10:30 PG   1 comments
Isnin, 21 Julai 2008
Catatan 3 : 5 sebab mengapa memiliki kad kredit itu bahaya!


1)Ianya meningkatkan kadar hutang anda. Bila hutang terlupa dibayar atau tak mampu terbayar, masalah demi masalah akan timbul.

2)Bank mengenakan kadar faedah (interest rate) yang tinggi. Buang duit hanya untuk membayar faedah.

3)Ianya menggalakkan pembelian barangan atau khidmat tanpa berfikir panjang. (impulse buying) Akhirnya, barangan itu tak digunakan dan terbuang.

4)Ianya menaikkan perbelanjaan yang seringkali adalah pada barangan yang tidak benar-benar diperlukan. Contohnya, sudah ada beg tapi beli banyak lagi beg yang berjenama walau tidak diperlukan dan tidak penting dalam kehidupan.

5)Ianya menggalakkan anda berbelanja lebih daripada apa yang anda mampu.

Hindarkan daripada terikut dengan cara hidup yang menjunjung kemewahan semata-mata tanpa memikirkan padahnya. Jika benar-benar perlukan barangan, gunakan kad debit, khidmat NETS atau wang tunai sahaja, dimana kita tidak menambahkan hutang dalam hidup kita, malahan semua pembayaran dilaksanakan secepat mungkin.
posted by Hanani @ 7:10 PG   0 comments
Sabtu, 12 Julai 2008
Catatan 2 : Hindarkan pembaziran, amalkan berjimat-cermat
Senario 1 :
Kita beli makanan berlebihan daripada apa yang diperlukan. Misalnya, kita hanya mampu makan 2 atau tiga keping epok-epok tapi kita beli 5 atau 10 epok-epok. Lebih-lebih lagi, untuk keluarga yang kecil. Akhirnya, ke tong sampah juga makanan tu.

Senario 2 :
Kita biarkan lampu bernyala di bilik sedangkan kita berada di dapur. Kita menonton televisyen berjam-jam, walaupun dah tak ada rancangan menarik dipaparkan. Bil elektrik naik disebabkan pembaziran.


Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): "Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya". (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan.

Hai, kadang-kadang yang tukang tulis ni pun bersalah jugak. Jadi, sama-samalah kita saling ingat mengingatkan antara satu sama lain.
posted by Hanani @ 12:38 PTG   0 comments
Jumaat, 11 Julai 2008
Catatan 1 : Kos Kehidupan Melambung
Nampaknya, seperti yang telah kita maklum, kos kehidupan semakin hari semakin melambung naik. Disini, saya paparkan rentetan beberapa kenaikan harga yang dilaporkan di akhbar tempatan.


2 July : Pengendali Bas Privet menaikkan harga tambang bas akibat kenaikan harga diesel sebanyak 10%. (ST)

28 Jun : Harga tambang bas Premium naik diantara 30 - 60 sen. (ST)

25 Jun : Cukai elektrik naik dari 1 July sebanyak 1.19 sen setiap kilo watt setiap jam (kWh) bagi setiap kediaman. (Alahai, nampaknya terpaksalah kurangkan penggunaan alat hawa dingin...) (CNA)

25 Jun : Harga pam minyak naik ke 13 kali sejak July 2007. Harga petrol naik 5 sen/liter. Harga diesel pula naik 10 sen/liter.(tapi baru-baru ini turun sebanyak 4 sen :) ) (ST/Today)

19 Jun : Harga beras Housebrand menjulang juga sebanyak 14%- 58%....(koyak poket...nak buat macam mana? Terpaksalah menyesuaikan bajet...nak makan kentang aje, bolehke?) (Today)

11 Jun : Harga telur dan sayur naik (ST) (Nampaknya, terpaksalah kurangkan pemakanan kek sedap-sedap dan pastri yang mengandungi telur sebab harga kek pun naik jugak...terpaksa ku telan air liur ku)

7 Jun : Harga tambang bas ke Malaysia naik 5 kali ganda (Today) (Kesian makcik sebelah rumah yang suka pergi Malaysia naik bas, terpaksalah kurangkan bercuti. )

5 Jun : Harga binatang ternakan naik disebabkan kenaikan harga pengangkutan. (CNA) (Saya memang suka makan ayam, sumber protin yang baik....kalau nak makan ayam lebih, nampak-nampak kena kurangkan menonton wayang :)

23 May : Kadar Inflasi mencapai 7.5% pada bulan April apabila harga makanan, perumahan dan pengangkutan melambung dan kini menjadi risiko kepada ekonomi Singapura (CNA)(Kalau harga makanan terjejas, memang parah sebab yang paling terjejas hebat ialah golongan berpendapatan rendah.)

3 May : Harga minyak makan dan mi segera naik. (ST) (Bayangkan, macam mana nak masak kalau tak ada minyak makan? Kenalah panggang, rebus atau kukus makanan tu..)


Siapa gerangan gagah perkasa,
Bagai pendita lagak lakunya,
Harga barangan naik sentiasa,
Kenalah kita menanganinya.
posted by Hanani @ 3:16 PG   0 comments
Khamis, 10 Julai 2008
Selamat Datang ke Taman Minda dan Sanubari
Ketenangan diharap di sanubari,
Setiap detik, waktu dan saat,
Kehadiran tuan saya senangi,
Semoga meraih sedikit manfaat.

Selamat datang wahai pengunjung dan pembaca budiman. Semoga apa yang akan saya kongsi dapat kita sama-sama jadikan sesuatu yang boleh difikirkan.
posted by Hanani @ 8:51 PG   2 comments
Menangani Kos Kehidupan menerusi Minda dan Sanubari
Foto Saya
Nama:
Lokasi: Singapore

Seorang yang sangat menitik-beratkan pendidikan dan juga gemar pada setiap yang indah dan baik.

Pos Lalu
Arkib
Mutiara Kata
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang bermaksud : “Dan ingatlah tatkala Rabbmu mengumandangkan : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih” [Ibrahim : 7]
Pautan
Template oleh
Blogger Templates
© Taman Minda dan Sanubari